Panduan Menjadi Pekerja Cemerlang

As-salam,

Pekerja cemerlang disayangi oleh semua orang. Kita pun patut bercita-cita menjadi pekerja yang cemerlang kepada majikan kita dan buat satu visi dan misi dalam titik perubahan kepada kerjaya kita. Tetapi ingatlah, jadilah pekerja cemerlang yang rendah hati agar rakan-rakan di sekeliling kita berterusan menyayangi kita.

Panduan Jadi Pekerja Cemerlang


1. Pasang niat Untuk jadi cemerlang

Untuk jadi cemerlang haruslah disertakan dengan niat yang betul dan ada hala tuju. Bila kita sudah memulakan langkah dengan aturan yang betul, Insya Allah semua langkah seterusnya menjadi cantik dan teratur. Setelah dipasang niat untuk jadi pekerja cemerlang, haruslah disertai dengan doa yang bersungguh-sungguh.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Setiap amalan adalah dengan niat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Sayidina Umar al-Khattab) 

 2. Bersihkan hati dan bersabar

Untuk mencapai kecemerlangan kita harus bersabar dan bersihkan hati. Setiap umat islam harus memiliki sifat warak dan istiqamah dalam mendaki kecemerlangan kerjaya dan kehidupan. Kejayaan tidak mungkin berhasil semalaman. Cuba bayangkan bagaimana Ibn Hajar mengarang kitab Fath al-Bari dan Muqaddimah dalam tempoh 32 tahun dan Abu Ubaid pula mengarang kitab al-Gharib dalam masa 40 tahun!

3. Berani berubah dengan segera

Menjadi pekerja yang cemerlang bukannya boleh dicapai dalam sekelip mata. Yang paling penting kena berubah dari pemalas kepada rajin, tinggalkan sikap berlengah-lengah. Paling tidak, kita kena memiliki pengalaman jatuh bangun, berjaya dan gagal silih berganti. Setelah kita lalui kesusahan lampau, insya Allah mudah bagi kita mengikut jalan yang telah ditempuh oleh tokoh yang telah berjaya. Contohi mereka yang telah berjaya. Berubah sekarang! Cuba teliti sejarah dan biografi hidup mereka yang cemerlang. Ibn Sina sendiri membaca buku al-Farabi sebanyak 40 kali sebelum menghasilkan karya agungnya.



Untuk berjaya kita juga harus bekerja dengan lebih keras dan komited. Jangan cepat menyerah kalah. Gunakan masa pada tahap optimum. Setiap pekerjaan hendaklah dilakukan dengan istiqamah iaitu kerja yang berterusan (consistence).

4. Jangan melawan fitrah

Maksudnya, don't against the nature. Oleh kerana hendak mendapat title pekerja cemerlang, kita mengampu majikan, menggunakan jalan salah untuk disayangi oleh semua orang terlibat dengan rasuah, mencuri dan tidak menghargai masa. Buat sesuatu mengikut aturan yang Allah telah aturkan dan dengan jalan yang lurus.

Untuk menjadi pekerja yang cemerlang haruslah juga cemerlang dalam kerja berpasukan. Orang yang berjaya biasanya melakukan kerja secara berpasukan (team work). Semangat berjemaah mereka tinggi. Mereka memiliki semangat kekeluargaan dalam organisasi. Apabila melakukan sesuatu tugasan mereka melaksanakan semangat perbincangan (syura atau consultation) yang harmoni dan berkesan.

5. Muhasabah diri selalu

Selalu berbisik kepada diri sendiri bahawa masalah dan keburukan yang berlaku disebabkan khilaf diri sendiri. Pekerja yang cemerlang tidak menunding kepada orang lain sebaliknya merungkai setiap masalah dengan berhemah dan mengatasinya dengan bertawakal kepada Yang Esa.

6. Yakin dan berdoa

Rezeki, jodoh, ajal dan maut semuanya rahsia Tuhan. Kita hanya pengembara sementara di muka bumi yang luas ini. Sebagaimana orang lain adalah pinjaman dari Allah, kita juga adalah pinjaman juga. Jadi, kejayaan dan kecemerlangan kita hari ini pun adalah pinjaman semata-mata. Jangan sombong jika berjaya dengan cemerlang dan mengeluh jika gagal. 

Yakin dan berdoalah untuk yang baik-baik untuk diri kita dan masyarakat islam amnya agar hidup kita menjalani hari yang penuh keindahan dan kecemerlangan.   

Ibarat sebuah empangan, apabila semua anak-anak sungai dari hulu atau gunung mengalirkan air ke dalamnya, lama-kelamaan empangan itu akan penuh. Maksudnya jika kita menghiasi hidup kita dengan sifat-sifat orang cemerlang seperti yang disebutkan dalam artikel di atas, sudah tentu diri kita akan menjadi cemerlang tanpa kita sentiasa berasa bimbang takut-takut diri kita tidak cemerlang.

Semoga kita semua di dalam golongan hamba-hambaNya yang cemerlang....

No comments

Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.

Powered by Blogger.