Bahaya salah guna ubat cerah kulit

aynora nur | 30 December, 2014,9:21 AM |
Advertisement
Ramai wanita mahu kelihatan cantik tetapi suka ambil jalan mudah dan sambil lewa sahaja dalam mengetahui kesan sampingan setiap bahan kosmetik yang digunakan. Mari kita ubah sikap dan ambil tahu setiap kesan dan gejala yang akan dihadapi jika mengambil ubat kecantikan tanpa info yang tepat dan lengkap.  




Tambahan pula ramai wanita di Malaysia mengidamkan kulit cerah. Tidak hairan produk kosmetik untuk tujuan itu semakin meningkat permintaannya. Fenomena ini semakin berleluasa apabila ramai pengguna, terutama wanita, berani mengambil ubat secara oral atau suntikan untuk mencerahkan kulit selain produk kosmetik.

Antara ubat yang semakin berleluasa dijual secara tidak sah di media sosial dan blog adalah asid Tranexamic. Penjualan ubat ini bertujuan mencerahkan kulit dengan mengambilnya secara oral atau suntikan.

Ubat ini juga dijual secara kombinasi dengan suntikan vitamin C bagi memberi kesan lebih ketara kepada penggunanya. Namun, adakah indikasi sebenar ubat asid Tranexamic untuk memutihkan kulit? Setiap ubat yang didaftar dengan Kementerian Kesihatan adalah dengan indikasi tertentu bersama bukti kajian klinikal. Ubat asid Tranexamic didaftarkan untuk mengawal pendarahan daripada terus berlaku. Ubat ini akan memastikan proses pembekuan darah terus utuh dan pendarahan dapat dielak atau dihentikan.

Oleh itu, ubat ini kerap digunakan doktor dalam situasi pesakit wanita mengalami pendarahan haid tidak berhenti atau pesakit mengalami pendarahan hidung yang berterusan.

Ubat ini juga digunakan untuk mengawal pendarahan ketika dan selepas pembedahan prostat, pendarahan organ yang abnormal seperti di paru-paru dan buah pinggang serta rawatan mengubati gejala seperti eritema, bengkak dan gatal kulit teruk.

Bahaya salah guna ubat cerah kulit

Semua ubat mempunyai kesan sampingan, begitu juga ubat asid Tranexamic. Doktor perlu menimbangkan manfaat dan risiko ubat ini sebelum diberi kepada pesakit.

Antara kesan sampingan umum ubat asid Tranexamic adalah pening kepala, sakit sendi, sakit dan kekejangan otot, saluran hidung tersumbat, sakit perut dan badan lesu.

Kesan sampingan serius dan memerlukan rawatan segera pula adalah kesan alergi (ruam, gatal kulit, sukar bernafas, bengkak pada muka, bibir atau lidah), sakit kaki, bengkak dan sakit seluruh badan, sakit dada, dada berasa ketat dan sukar bernafas, keliru, batuk berdarah, kurang atau susah membuang air kecil, gangguan penglihatan warna dan kabur, rasa kebas pada lengan atau kaki, sawan, pening teruk, pendek pernafasan, muntah dan kelesuan luar biasa.

Ubat asid Tranexamic tidak boleh digunakan jika pesakit mempunyai sejarah alergi terhadap ubat ini, mengalami penyakit tromboembolik, gangguan penglihatan warna, wanita mengalami masalah pendarahan haid tidak teratur, individu mengalami pendarahan otak, darah dalam air kencing atau pendarahan akibat masalah buah pinggang, ibu mengandung dan menyusukan anak serta individu menggunakan ubat kontraseptif estorgen dan progesterone.

Individu mempunyai masalah pembekuan darah atau situasi yang meningkatkan risiko pembekuan darah juga tidak boleh menggunakan ubat ini. Sebagai contoh, pesakit yang ada masalah injap jantung atau degupan jantung.

Ubat asid Tranexamic membantu memberhentikan pendarahan, justeru penggunaannya tanpa pemantauan doktor sangat berbahaya kerana dikhuatiri berlaku tromboembolisme, yang mana gumpalan darah berlaku dalam salur darah dan hanyut bersama aliran darah.

Seterusnya gumpalan darah ini boleh tersumbat pada salur darah penting di otak dan jantung yang menyebabkan berlaku strok dan serangan jantung.

Ubat asid Tranexamic juga menyebabkan pening kepala dan akan bertambah teruk jika diambil bersama alkohol atau ubat lain. Ubat ini juga tidak disyorkan bagi remaja berumur bawah 18 tahun kerana status keselamatan dan keberkesanan ubat ini tidak dapat ditentukan.

Penyalahgunaan ubat ini dilakukan oleh individu tidak bertauliah atau ada ilmu dalam bidang perubatan dan kesihatan. Mereka yang menjual ubat asid Tranexamic biasanya mencadangkan dos penggunaan harian yang tidak betul, malah ada yang mencadangkan ubat ini dibuka daripada kapsulnya dan dicampurkan dalam minuman jus buah atau air untuk disapukan pada muka.

Tindakan seperti ini tidak disyorkan oleh pengilang, malah tiada bukti klinikal menunjukkan tindakan seperti itu lebih berkesan dan boleh mencerahkan kulit.

Rakyat Malaysia harus menjadi pengguna lebih bijak. Jangan mudah percaya dan terpedaya dengan promosi jualan di Internet berkaitan ubat asid Tranexamic untuk mencerahkan kulit.

Sehingga kini tiada data saintifik bahawa ubat ini berkesan untuk mencerahkan kulit. Malah, tidak berbaloi jika dilihat harga jualan ubat ini yang mencecah enam kali ganda harga cadangan jualan runcit oleh pengeluar.

Pengguna dinasihat mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi terlebih dulu sebelum menggunakan produk asid Tranexamic. Jangan terlalu ghairah ingin memiliki kulit lebih cerah sehingga memperjudikan nyawa akibat serangan jantung atau strok kesan penggunaan ubat ini.

Ubat ini hanya sesuai digunakan oleh pesakit yang mendapat rawatan doktor untuk masalah pendarahan, bukan pecerahan kulit.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1 800-88-6722.

Semoga apa yang telah saya kongsikan di atas dapat dijadikan info yang membawa manfaat kepada kita semua. 

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/19419#sthash.tezBJSzp.dpuf (mymetro)
Tag : Tips Sihat
Aynora Nur adalah seorang penulis blog separuh masa, terlibat dalam bidang hartanah dan perkhidmatan – di Johor, Malaysia. Lulusan MBA. Aktif berblog sejak tahun 2010. Hubungi saya untuk Promosi produk dan servis • Entry kekal di blog • • Pakej mengikut bajet • Daily PV : 35,000 - 45,000 • Monthly PV : 1.1juta - 1.5juta. Info lanjut di about me ...
 
loading...
2 Komen untuk "Bahaya salah guna ubat cerah kulit"

welcome...please read carefully sebelum pakai ubat cerah kulit..

DISCLAIMER: All content provided on this "Aynorablogs.Com – Inspirasi Wanita" blog is for informational purposes only. The owner of this blog makes no representations as to the accuracy or completeness of any information on this site or found by following any link on this site. The owner of Aynorablogs.Com – Inspirasi Wanita will not be liable for any errors or omissions in this information nor for the availability of this information. The owner will not be liable for any losses, injuries, or damages from the display or use of this information. This terms and conditions is subject to change at anytime with or without notice.

Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.

Kisah 25 Filsuf Barat (MATLUTHFI)!! Harga cuma RM22.50 (Asal RM25.00)!

Buat Duit Blog
Back To Top