Ibu Cantik Seperti Pelangi

Tudung kanak-kanak
Satu petang saya berjalan seorang diri di tepi taman permainan. Cuaca agak redup dan ramai ibu bapa dan kanak-kanak yang sedang beriadah di tapak permainan tersebut. Sambil berjalan saya berangan. Iya lah...berangan pun satu terapi juga.

Sambil menghirup udara petang yang agak dingin selepas hujan turun sejam yang lepas, saya mencari tempat duduk. Ada satu bangku kosong. Dalam anganan itu, sempat saya mengharap munculnya pelangi. Bukankah selalu ada pelangi selepas hujan?





Ibu Cantik Seperti Pelangi 


Tiba-tiba telinga ini terdengar perbualan seorang kanak-kanak lelaki dengan seorang wanita, mungkin ibunya. 

"Cantik sangat!" tutur si kecil.

"Siapa cantik?" soal wanita yang bertudung ungu itu.

"Ibulah."

"Terima kasih."

Lalu kanak-kanak itu memeluk erat leher wanita itu dengan manjanya. Si ibu membalas pelukan tersebut dengan penuh kasih.

"Ibu cantik macam pelangi!" kanak-kanak lelaki itu ketawa polos.

Dada saya berderau. Bulu roma meremang. Seolah-olah saya pernah terdengar pujian tersebut. Daripada siapakah ucapan itu pernah melewati ruang kenangan saya? Saya buntu mencari jawapan. Tiba-tiba saya diterpa hiba. Ada kenangan demi kenangan yang tak mampu ditelan oleh masa depan. Dan ia tersekat dalam pita memori. Sedih sebenarnya...

Kebelakangan ini saya banyak kenangan dengan ibu. Kalau boleh setiap saat saya ingin memerhatikan gelagatnya, melihat senyumnya dan meniru cara dia mengabadikan dirinya kepada Allah. Subhanallah!!

Sesekali saya mengintai di balik pintu ketika dia sedang solat Dhuha. Merdunya bacaan al Quran yang didendang ketika menunggu solat Isyak berkunjung waktunya. Ada ketika di balik pintu saya menyimpan sebak dan airmata. Mampukah saya menjadi seperti ibu. Mampukah saya menjadi sesolehah dia? Hanya DOA mengiringi harapan saya itu...

Tanpa sedar saya menyapu airmata yang mula menitik. Petang semakin suram. Keadaan di taman permainan juga mulai sepi. Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya menyimpan angan lagi. Semoga satu hari yang indah nanti ada suara comel yang memuji bahawa saya secantik pelangi.

Insyaa Allah.


Seindah Pelangi, Bidadari Di Dunia 


Mudahnya dipuji secantik pelangi tetapi tahukah kita mahalnya pengorbanan sang ibu sehingga mendapat gelaran dari bibir ikhlas si anak kecil yang suci. Untuk menjadi bidadari di dunia, kita mestilah dekatkan diri pada Allah agar timbul satu benteng iman yang mewujudkan rasa malu dalam diri kita. Malu untuk mendedahkan aurat, malu kepada golongan ajnabi.





Wanita solehah itu bukan terletak pada pakaiannya. Wanita solehah itu bukan padanya status ustazah sahaja. Wanita solehah itu untuk semua golongan wanita. Perbaiki diri, perbaiki peribadi,. Insyaallah, Allah akan kurniakan IMAM yang mampu membimbing kita menggapai wanita syurga bidadari dunia.

Dan yang paling penting, malu kepada Allah swt. Jika kita pernah tersesat di bumi ini, carilah jalan untuk kembali. Mulakan sesuatu yang baru dalam hidup kita. Tidak rugi jika kita berubah dan mendekatkan diri pada Allah.

Untuk menggapai gelaran wanita syurga bidadari di dunia, memang sukar dan perjalanannya penuh duri. Walau pada awalnya kita begitu tekun dan istiqamah tetapi sesekali kita jatuh tersungkur juga di kaki hasutan syaitan. Oleh itu mujahadah nafsu perlu kuat, keazaman yang kuat diperlukan untuk menghasilkan kejayaan.

Semoga bermanfaat, membawa kebaikan. Sebarkan ilmu, sebarkan bahagia...


No comments

Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.

Powered by Blogger.