Enter your keyword

20 May, 2015

Aku Akan Menjawab Soalan-Soalanmu Dengan Taufik Allah

Taufik itu milik Allah. Kepada siapa dan untuk siapa ia diberikan, hanya Dia yang Maha Mengetahui. Oleh sebab itu janganlah kita memandang hina seseorang itu seumpama dia akan masuk neraka dan janganlah terlalu berbangga diri dengan amalan seolah-olah kita bakal masuk syurga. Akhir hidup seseorang hanya Allah yang tahu.


Aku Akan Menjawab Soalan-Soalanmu Dengan Taufik Allah
Taufik Allah melebur yang batil

Dalam riwayat satu ketika dahulu, ada seorang lelaki yang tidak mempercayai Tuhan (atheis). Lelaki itu sangat pandai berdebat dan berhasil menewaskan beberapa ulama besar pada zaman berkenaan.

Soalan dilontarkannya sukar dijawab membuatkan dia berasa sangat megah. Hinggakan hampir tiada siapa lagi mampu mencabarnya.

Namun satu ketika, dalam satu majlis muncul seorang kanak-kanak lelaki secara sukarela cuba berdebat dengannya mengenai segala hal berkaitan Tauhid.

“Siapakah dalam kalangan kamu yang akan menjawab soalanku?” Tanya si Atheis itu kepada orang ramai yang hadir. Budak lelaki itu menjawab, “Nyatakan saja soalan kamu, orang yang tahu akan menjawabnya.”

Lelaki itu bertanya, “Siapakah engkau ini, wahai budak? Engkau bercakap denganku sedangkan orang-orang yang ada kemegahan, orang tua, berserban besar, berpakaian labuh dan berlengan baju yang luas tidak mampu berdebat denganku. Inikan pula kamu yang masih kecil, masih mentah dan hina.”

Budak lelaki itu kemudian menjawab dengan penuh yakin, “Allah tidak memberikan ketinggian dan kebesaran kepada orang yang berserban besar, berpakaian penuh kemegahan dan berlengan baju yang luas, tetapi Allah memberi kepada ulama seperti firman-Nya, bermaksud: “Dan (Allah memberikan kepada) orang-orang yang diberi ilmu pe­ngetahuan beberapa darjat.” Surah Al-Mujadalah, ayat 11.


Aku Akan Menjawab Soalan-Soalanmu Dengan Taufik Allah


Lelaki itu bertanya lagi kepada budak lelaki itu, “Engkaukah yang akan menjawab soalan-soalanku?”

Budak lelaki itu menjawab, “Aku akan menjawab dengan taufik Allah.”

“Adakah Allah itu wujud?”

Budak lelaki: “Ya.”

Lelaki atheis: “Di mana?”

Budak lelaki: “Allah tidak bertempat.”

Lelaki atheis: “Bagaimana mungkin Dia wujud tapi tidak bertempat?”

Budak lelaki: “Dalilnya ada pada diri anda.”

Lelaki atheis: “Mana dia?”

Budak lelaki: “Bukankah kamu mempunyai nyawa?”

Lelaki atheis: “Memang.”

Budak lelaki: “Di manakah tempat nyawa atau roh kamu itu? Di kepala kamukah? Atau di perut kamu? Atau di kaki kamu?”

Lelaki itu tercengang-cengang tidak tahu menjawab. Kemudian budak lelaki pintar itu menyebutkan pula mengenai air dengan mengatakan, “Bukankah air susu itu mempunyai lemaknya?”

Lelaki atheis: “Ya.

Budak lelaki: “Di manakah terletaknya lemak itu di dalam susu? Adakah di sebelah atas atau di sebelah bawah?”

Sekali lagi lelaki itu tidak dapat menjawab. Budak lelaki itu kemudian menambah, “Sebagaimana roh juga tidak bertempat di dalam tubuh, lemak tidak bertempat di dalam susu, maka Allah juga tidak bertempat di alam buana ini.”

Lelaki itu tidak berpuas hati dan menyoal lagi: “Apa yang ada sebelum Allah dan apa yang ada selepas-Nya?”

Budak lelaki: “Tiada sesuatu sebelum Allah dan tiada sesiapa selepas-Nya.”

Lelaki atheis: “Bagaimana dapat memahami tiada sesuatu yang mendahului yang wujud dan tiada sesuatu selepasnya?”

Budak lelaki: “Buktinya ada pada anggota badanmu.”

Lelaki atheis: “Apa dia?”

Budak lelaki: “Tiada sesuatu pun yang ada sebelum ibu jari tanganmu. Dan tiada sesuatu pun yang ada selepas jari keleng­kingmu. Begitu jugalah dengan Allah. Tiada sesuatu sebelum-Nya dan tiada sesuatu selepas-Nya.”

Lelaki atheis: “Ada satu lagi soalan yang ingin aku ta­nyakan.”

Budak lelaki: “Kemukakanlah, insya-Allah aku akan menjawabnya.”

Lelaki atheis: “Apakah yang dilakukan oleh Allah sekarang?”

Budak lelaki: “Cara engkau tidak betul. Sepatutnya orang yang menjawab mesti berada di mimbar dan orang yang bertanya berada di bawah. Aku akan menjawab jika aku berada di mimbar dan engkau pula di bawah.”

Lelaki itu pun turun sementara budak lelaki itu pula kini berada di atas mimbar. Setelah beliau duduk, si lelaki itu pun bertanyakan soalan tadi.

Budak lelaki pintar itu menjawab: “Inilah yang Allah Taala lakukan sekarang. Dia merendahkan yang batil seperti kamu dari atas ke bawah dan menaikkan yang benar seperti aku dari bawah ke atas.”

Walau sudah hampir ribuan tahun ‘budak lelaki’ atau pemuda itu meninggalkan kita, namun namanya disebut orang seolah-olah beliau masih hidup di sisi kita. Beliau adalah al-Imam Abu Hanifah Nu‘man bin Thaabit r.a (Imam Hanafi). Semoga Allah merahmati beliau.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/51392#sthash.7vubgGX3.dpuf
oleh Mohd Hassan Adli Yahya

No comments:

Post a Comment

Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.