Coretan Cinta Ramadhan Terakhir

aynora nur | 30 June, 2015,10:40 PM |
Advertisement
Coretan cinta ramadhan terakhir...adalah secebis kisah lambaian perpisahan di malam seribu bulan. Ramadhan yang dijalani hampir sebulan bakal meninggalkan kita. Adakah kita akan merinduinya? Apakah hati berasa sayu? Bagaimanakah impian kita untuk merebut lailatul qadar? Mampukah kita menemui ramadhan di tahun-tahun mendatang?

Coretan Cinta Ramadhan Terakhir

Agaknya apa jawapan anda kepada setiap persoalan di atas? Saya pun ada jawapan saya sendiri.

Ku mengharapkan ramadhan kali ini penuh makna, agar dapat ku harungi dengan sempurna... - Raihan

Dan, sengaja saya kongsikan coretan di bawah ini yang saya ambil dari Facebook untuk renungan kita bersama. Semoga belum terlambat untuk kita memenuhi ramadhan terakhir kita untuk tahun ini dengan lebih khusyuk dan tawadduk. Insyaa Allah.

Warkah Misteri Malam Raya
karya: Muhammad Rusydi ( Rusydee Artz )
---------------------------***----------------------------

Malam raya.

Ibu mengetuk pintu bilikku.

Menghulurkanku sepucuk surat.

“Apa ni, mak?”

“Ada orang bagi tadi. Untuk kamu.”

Ibu berlalu pergi ke ruang tamu, menyambung kerja menghias rumah dengan adik dan kakak.




Jam sudah menunjukkan hampir pukul 1 pagi. Dengan cermat, aku membuka sampul berisi surat.

Ku teliti tulisannya. Kemas. Tulisan siapakah ini? Tidak ku kenali.

Bersila di atas katil. Ku amati bait-bait tulisan di helaian surat. Ringkas saja isinya.

“Assalamualaikum.

Maaf mengganggu.

Sebenarnya sudah lama saya memerhatikan awak. Awak boleh panggil saya stalker kalau awak nak. Sebelum puasa lagi, saya nak sangat jumpa dengan awak. Awak tahu tak betapa saya berkenan dengan awak?”

Hatiku mulai berdebar-debar. Rupanya aku ada peminat dalam diam. Mesti awek ni. Kembang kuncup sekejap hidungku. Tersipu-sipu. Tak sabar-sabar lagi, terus aku membaca perenggan yang seterusnya.

“Sejak tahun-tahun dulu lagi sebenarnya saya dah lama follow awak. Awak saja tak sedar kewujudan saya. Saya intai di facebook awak, status awak, awak kata awak suka ke masjid dekat rumah awak ni bila nak solat terawikh.

Saya buat keputusan untuk ke masjid yang awak sebutkan. Namun, hampa. Saya tak nampak kelibat awak di situ. Saya tunggu dan tunggu, awak tak datang-datang juga. Selama dekat 9 malam saya tunggu awak.

Kecewa sendiri.

Saya decide untuk meninjau-ninjau masjid dan surau yang berdekatan dengan rumah awak, tapi hampa juga. Awak juga tiada di mana-mana.

Lalu, saya tekad cuba ke rumah awak. Saya dapati awak ada saja di rumah. Tak ke mana-mana. Saya nampak awak sibuk dengan laptop dan henfon awak. Fikir saya, mungkin awak ada seseorang yang sangat istimewa. Bila habis saja orang bersolat terawih, awak keluar lepak dengan kawan-kawan makan-makan. Begitulah rutin awak setiap hari.

Saya cemburu. Padahal awak tak tahu, andai awak kenal saya, awak akan tahu saya lebih istimewa dari orang yang awak suka tu. Awak tak tahu, perasaan saya pada awak jauh lebih dalam berbanding sesiapa pun yang awak kenal. Lebih anggun dan menawan dari gadis-gadis yang awak kenali.”

Aku berkerut kening. Dalam hati, dia ni menakutkanlah. Syok sendiri ke minah ni? Aku menyambung baca.

“Saya sedih. Sangat sedih.

Saya tetap menanti awak di pintu masjid yang awak katakan. Setia menanti. Cuma nak melihat awak. Di malam ke-18, awak muncul akhirnya. Awak tahu tak, betapa saya happy sangat dapat tengok awak? Walaupun awak tak perasan saya, saya tak kisah.

Tapi, gembira saya tak lama.

Awak hilang lagi. Tak datang lagi ke masjid. Saya pergi ke masjid itu tiap kali masuk waktu solat. Dengan harapan awak ada sama berjemaah. Tapi, hampa bertubi-tubi. Bayang awak pun saya tak nampak.

Di siang hari, ada saya ke rumah awak. Saya dapati awak selepas Subuh, tidur sampai Zohor. Selepas Zohor, tidur sampai Asar. Andai tak tidur, sibuk dengan fon. Malam kadang-kadang awak tidur, banyaknya berjaga. Tak habis-habis dengan internet dan gajet. Kadang-kadang saya terfikir, awak tak bosankah menghadap benda-benda tu? Apa penting sangatkah mereka?

Saya tunggu seperti biasa di masjid. Tiap malam tanpa jemu. Hinggalah malam terakhir terawih. Awak tak hadir juga.

Saya kecewa. Saya sedih. Malam itu saya menangis cukup-cukup. Biarlah tumpah seribu air mata sekalipun. Pedihnya hati ini. Betapa awak tak peduli. Tak pedulikan saya. Tak pedulikan kehadiran saya. Tak pedulikan kesetiaan saya selama ini.

Tak peduli yang saya sayang awak. Sayang awak sangat-sangat. Tak peduli yang saya ambil berat tentang awak sangat-sangat.

Jauh di sudut hati saya sebenarnya, saya nak tengok awak jadi pemuda yang soleh. Sebab itulah tanpa jemu, saya tunggu awak di masjid tiap masa dan ketika. Tinggalkan dosa, tinggalkan benda-benda lagha. Namun, hajat tak kesampaian.

Cukuplah sampai sini.

Saya ambil keputusan untuk pergi. Tak mahu ganggu awak lagi. Biarlah awak dengan hidup awak. Siapa saya di mata awak? Sesuatu yang tidak bermakna saja pada awak.

Biar berjauhan.

Awak kenal siapa saya.”

Aku menggigil sedikit membaca baris terakhir. Ku gagahkan diri jua.

“Saya Ramadhan.

Jaga diri, jaga iman.

Selamat tinggal.”

Aku terkedu. Kelu membisu. Air mata mulai menitik ke atas warkah misteri itu.

Coretan Cinta Ramadhan Terakhir

Ya Allah. Ku tinggalkan surat tadi, berlari keluar untuk bertanyakan mak siapa yang bagi. Mak menggeleng tak tahu. Bila masuk kembali, surat itu telah diterbangkan angin melalui tingkap. Hilang.

Melihat orang lain beraya, aku juga mahu sakan beraya dengan orang tercinta. Tapi, selama ini aku buat semberono ala kadar saja pada Ramadhan Allah.

Air mata mengalir tak tertahan lagi.


Coretan Cinta Ramadhan Terakhir

Aku pendosa yang lupa bahawa Allah Maha Memerhati.

Kesal 150 juta kali.

“Diriwayatkan dari Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di dalam Surga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk seorangpun kecuali mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya” [Bukhari-Muslim]

Selamat membaca, renungkan dan ambillah pengajaran daripada coretan cinta hari-hari terakhir ramadhan al Mubarak.

Sesungguhnya orang yang mencari kebaikan, akan dipermudahkan urusannya. Allah akan hadirkan orang-orang yang baik bagi membantunya.

Subhanallah.


Tag : Renungan
Aynora Nur adalah seorang penulis blog separuh masa, terlibat dalam bidang hartanah dan perkhidmatan – di Johor, Malaysia. Lulusan MBA. Aktif berblog sejak tahun 2010. Hubungi saya untuk Promosi produk dan servis • Entry kekal di blog • • Pakej mengikut bajet • Daily PV : 35,000 - 45,000 • Monthly PV : 1.1juta - 1.5juta. Info lanjut di about me ...
 
loading...
0 Komen untuk "Coretan Cinta Ramadhan Terakhir"
DISCLAIMER: All content provided on this "Aynorablogs.Com – Inspirasi Wanita" blog is for informational purposes only. The owner of this blog makes no representations as to the accuracy or completeness of any information on this site or found by following any link on this site. The owner of Aynorablogs.Com – Inspirasi Wanita will not be liable for any errors or omissions in this information nor for the availability of this information. The owner will not be liable for any losses, injuries, or damages from the display or use of this information. This terms and conditions is subject to change at anytime with or without notice.

Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.

Kisah 25 Filsuf Barat (MATLUTHFI)!! Harga cuma RM22.50 (Asal RM25.00)!

Buat Duit Blog
Back To Top