Lifestyle, Resepi, Keluarga Dan Informasi Terbaik

Tanda-Tanda Hati Yang Malap Dan Kontang

Tanda-Tanda Hati Yang Malap Dan Kontang. Hati yang malap adalah hati yang dah tak subur, dah tak mampu menumbuhkan benih iman lagi. Hati yang tak dibajai dengan amalan dan zikir yang boleh meyuburkan iman. Kalau hati dah malap dan kontang, susahlah iman nak tumbuh dan subur hingga ke akhirnya. Berhati-hati dengan hati yang dah malap, jika tidak dirawat dengan betul, bimbang nanti ia akan mati dan kering. Susah nak dikembalikan kepada keadaan asal sama ketika kita dilahirkan. Kerana, nak menyuburkan hati dengan iman dan taqwa memakan masa bertahun-tahun. Bukan sehari dua.

Walau sebaik mana pun benih, jika ditanam di tanah yang gersang atau tandus, pasti hasilnya tidak sebaik yang kita harapkan. Logiknya, petani hanya akan menabur benih pada tanah yang subur agar benih yang baik tadi akan tumbuh dan menghasilkan pohon-pohon yang rendang dengan buah-buahan yang lebat lagi ranum. Kalau yang ada hanyalah tanah yang telah kontang dan gersang, maka si petani tentunya akan berusaha untuk menyuburkannya semula dengan siraman air dan tumpukan baja sebelum benih ditaburkan.

Perumpamaan hati yang hidup dan subur adalah hati yang sentiasa mengingati Allah. Firman Allah dalam surah ar-Ra’d ayat 28:


ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَطۡمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكۡرِ ٱللَّهِۗ أَلَا بِذِكۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَئِنُّ ٱلۡقُلُوبُ ٢٨

(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.

Tanda-Tanda Hati Yang Malap Dan Kontang



Tanda-Tanda Hati Yang Malap Dan Kontang

Hati yang hidup hendaklah sentiasa dijamu dengan santapan dan bekal rohani sehingga menjadi rabbani, jernih dan cerah, sentiasa takut kepada Allah dan sentiasa dalam ketenangan.

Namun jangan lupa, ada hati yang malap, tidak subur atau hati yang gersang yang dibimbangi seperti tanah gersang, ditanam pokok tidak menjadi, kalau tumbuh pun terencat. Hati yang gersang tidak akan menyuburkan iman. Antara tanda hati gersang dan kontang:

1.  Rasa malas menunaikan ibadat fardhu seperti bagi lelaki, enggan solat berjemaah di masjid dengan alasan penat, sibuk atau tak ada apa-apa alasan

2.  Rasa berat menunaikan ibadat-ibadat nafilah seperti solat sunat dengan alasan pelbagai, atau tidak bersedekah atau menangguh untuk bersedekah atas alasan nak baiki rumah atau nak beli kereta

3.  Terasa berat membaca al-Quran dan menelaah sunah Nabi serta kehidupan salafusolleh

4.  Kurang berzikir 

5.  Lesu untuk melakukan kerja dakwah atas alasan dah penat, tiada imbuhan dunia, sibuk dengan kerjaya atau mungkin juga tak ada alasan apa-apa.

Ingatlah kata-kata Bakar bin Abdullah al-Muzani seorang Tabein: Jika kamu mendapati kepada saudaramu kekeringan, maka suruhlah segera bertaubat kepada Allah kerana sesungguhnya ia merupakan akibat daripada dosa yang dia kerjakan. Apabila kamu dapati dari mereka bertambah kasih sayang, yang demikian merupakan buah dari ketaatan, maka bersyukurlah kepada Allah.

Marilah kita suburkan hati dengan amalan soleh. Bajailah dengan majlis ilmu, qiamullail, tilawah juga zikir. Siramilah air yang mencukupi dengan memelihara solat, puasa dan sedekah. Jangan biarkan hati gersang kerana ia tidak menumbuhkan iman.

Semoga perkongsian ini memberikan manfaat kepada kita semua. Jangan biarkan lama hati tidak dibajai dan disirami air, kerana hati yang kontang dan gersang amat bahaya bagi seorang muslim, apatah lagi dengan kondisi persekitaran dan cabaran kehidupan yang semakin sukar. 

Jagalah hati kita kerana Allah, dari Allah dan untuk Allah. Moga hati kita akan kembali kepada Allah dalam keadaan yang subur mewangi. Insya Allah.

Post a Comment

0 Comments

close