Aynorablogs | Berkongsi Informasi

Top Ads

Kelebihan Duduk Di Asrama Bagi Anak-Anak Lelaki

Asrama tempat pertama yang mendidik saya menjadi seorang yang berdikari, kuat semangat dan berani. Tinggal di asrama memberikan saya banyak pendedahan terhadap realiti kehidupan sebenar terutamanya tanpa ibu bapa di sisi kita. Terkenang-kenang semasa duduk di asrama dulu, masa minggu orientasi aje dah berani... berani melawan senior... haha

Bila duduk di asrama kita mula hargai adik beradik dan ibu bapa. Dah boleh nampak kesusahan ibu bapa mencari rezeki. Duduk di asrama juga menyebabkan kita mula boleh makan apa saja, dari alergik ikan terpaksalah makan jugak sebab tak ada pilihan lain. Takkanlah pihak asrama nak layan tekak kita sorang, kan?

Tapi ibu bapa kena ingat, usah memaksa anak-anak terutamanya anak lelaki untuk duduk di asrama. Jika mereka enggan berbuat begitu, biarkanlah. Jika dipaksakan juga ditakuti mereka akan memberontak di asrama dan bakal mencetuskan masalah lain pula.

Kelebihan Duduk Di Asrama Bagi Anak-Anak Lelaki 


Ada banyak kelebihannya tinggal di asrama terutamanya kepada anak-anak lelaki. Selain menjimatkan masa ibu bapa berulang alik hantar dan ambil dari sekolah, tanpa mereka sedari, sebenarnya mereka sangat beruntung tinggal di asrama.

Gambar bilik sakit SSAS

1) Tinggal di asrama memberikan mereka pelajaran pertama untuk berdikari. Seumur hidup mereka, mereka telah dimanjakan dengan pelbagai kesenangan dan kemewahan hidup sehinggakan mereka tidak berpeluang untuk menjalani hidup berdikari seperti mencuci baju sendiri, melipat kain sendiri, menyapu, mengelap lantai, membuang sampah, mencuci tandas dan sebagainya kerana adanya ibu atau pembantu rumah untuk menjalankan kerja-kerja berat seperti ini.

2) Keselamatan pelajar lebih terjamin. Tinggal di asrama menjadikan keselamatan anak-anak lebih terjamin kerana mereka tidak perlu keluar dari kawasan asrama untuk pergi atau pulang sekolah. Bagi anak-anak lelaki terutamanya, gejala samseng, vandalism dan lepak dapat dikurangkan kerana masa dan jadual mereka padat dengan aktiviti persediaan belajar (prep), riadah, mesyuarat kelab rumah dan sebagainya.    

3) Pelajar yang tinggal di asrama dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka samada secara langsung atau tidak langsung. Antara nilai-nilai murni tersebut adalah bertolak ansur, berkerjasama dan berdikari. Amalan ini dapat menjadikan pelajar lebih berakhlak mulia.

4) Selain itu, proses pembelajaran juga akan menjadi lebih tersusun. Melalui penekanan dan jadual waktu pembelajaran, mereka memiliki tempoh pembelajaran yang lebih teratur dan seimbang. Ini membolehkan mereka menumpukan lebih perhatian kepada pelajaran dan tidak terlalu terdedah kepada gejala buruk di luar sekolah seperti melepak, berjudi, merokok, dan bermain permainan video.


5) Dengan kegiatan riadah yang dilakukan memberikan keseimbangan diantara kecerdasan minda dan kecergasan fizikal. Jangan risau jika anak anda gemuk sewaktu di sekolah rendah kerana banyak bukti menunjukkan bahawa anak-anak yang duduk di asrama akan jadi kurus dan langsing. Ada banyak sebab mereka boleh berubah fizikalnya, antaranya kegiatan sukan yang terancang dan pemakanan yang seimbang di asrama menjadikan mereka lebih cerdas dan cergas.

6) Tinggal di asrama mampu mendisiplinkan sikap dan kelakuan para pelajar. Melalui jadual waktu yang ditetapkan, pelajar-pelajar akan lebih menghargai waktu dan mampu mendisiplinkan diri untuk mengikut tempoh dan jadual waktu yang ditetapkan oleh pihak sekolah. 

7) Selain itu, tinggal di asrama juga boleh mengurangkan keadaan ‘kejutan budaya’ ketika melangkah ke alam universiti. Melalui pengalaman di sekolah asrama, kebanyakan dari mereka tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran di IPT.

8) Selain itu, tinggal di asrama juga membolehkan ibu bapa menjimatkan kos perbelanjaan seharian mereka. Jika pelajar tidak menetap di asrama, ibu bapa perlu menanggung kos ‘duit saku’, ‘duit pengangkutan’ dan sebagainya.Justeru itu, tinggal di asrama dapat meringankan beban para ibu bapa khasnya dari golongan yang tidak berkemampuan.

9) Menetap di asrama juga membolehkan para pelajar untuk lebih cemerlang dalam pembelajaran. Walaupun tetap ada yang tercicir namun peratusan mereka adalah kecil berbanding dengan mereka yang menetap di luar asrama. Malahan kebanyakan pelajar yang tinggal di asrama mendapat keputusan yang lebih baik dari pelajar harian kerana disiplin dan jadual waktu yang lebih ketat daripada di rumah. 

Oleh itu, dapatlah kita simpulkan di sini bahawa tinggal di asrama adalah lebih baik daripada menjadi pelajar harian. Namun ada juga kelemahan tinggal di asrama terutamanya bagi anak-anak lelaki yang masih kecil iaitu seawal umur 13 tahun. Hubungan mereka mungkin renggang dengan ibu bapa, pengalaman kemahiran hidup seperti bertukang, membantu ayah berkebun, perhubungan dengan saudara mara agak jauh dan banyak lagi.  

Read More ....


Post a Comment

2 Comments

Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.

close