-->

Panduan

Bening Kasihmu Hingga Ke Syurga Abadi

Advertisement

Bening kasihmu hingga ke syurga abadi. Hanya kenangan yang selalu mengusik jiwa, bila takbir aidiladha menghias alam buana. Seisi alam serasa ikut bergema. Begitulah setiap kalinya, pasti terusik memori aidiladha bersama seorang lelaki agung yang tiada gantinya. Semoga indah tempat persemadianmu di alam sana, terang bercahaya. 

Bening Kasihmu Hingga Ke Syurga Abadi
klik imej untuk gambar lebih jelas

Ungkapan yang terindah bagaimanakah lagi untuk aku coretkan tatkala mengusung memori silam bersamamu, ayahanda? Menyusuri hari-hari bernama kenangan, kiranya masa sudah semakin jauh berlalu. Dahulu bertahun kita menganyam juadah rasa kehidupan, kekadang katamu tidak dipatuhi, bertikam lidah umpama akulah pendebat ulung waktu itu. Pahit manis dan asam garam perencah hubungan yang terbiasa dengan pasang surutnya, tetapi kau masih tidak jemu menunjuk ajar itu dan ini tanpa rasa ragu.

Benarlah bagai kata pujangga... menangisi setelah ketiadaan, mengenangi seumur hidup pun belum boleh menamatkan sejarah yang tercipta. Dan setelah ketiadaan, betapa rasa bertuahnya pernah singgah di dahan kasihmu, betapa agungnya khidmat nasihat yang kau sangkutkan di bahu ingatan...

Melewati tahun ke tahun, tidak terasa hampir 11 tahun kita terpisah dunia. Terimbas wajah dan gaya yang serupa mu, pantas kaki mahu mengejar. Lantas diri sedar di alam realiti... ohh! si dia telah pergi.

Masih ada bekas suaramu di hening pagi membangunkan Subuhku, terdengar-dengar deheman tegasmu tatkala mencurahkan bakti mengajar sang pencinta ilmu ukhrawi, dan bagai terngiang-ngiang guraumu memecah sunyi!

Bila tiada kata-kata lagi yang mampu terluah, hanya doa kudus dan sedekah al-fatihah untuk mu insan bernama ayahanda. 

Selamat Hari Bapa, setiap masa, ayahanda...   

coretan kenangan,
aynora.nur

2 comments:

Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.

Powered by Blogger.
close