Aynorablogs | Berkongsi Informasi

Top Ads

Hukum Memakai Inai Bagi Lelaki Dan Wanita

Hukum Memakai Inai Bagi Lelaki Dan Wanita Islam. Kebelakangan ini ramai yang suka memakai inai sepanjang masa bukan terhad untuk majlis perkahwinan sahaja. Inai merupakan hiasan yang bertujuan mencantikkan si pemakai terutama dipakai pada bahagian kuku dan rambut. Kaum lelaki dan wanita dibenarkan memakai inai terutamanya bagi tujuan perubatan.

Namun pemakaian inai adalah dalam bentuk yang boleh dicuci, asli dari tumbuhan dan tidak memudaratkan. Biasanya masyarakat melayu kita menggunakan inai yang sah solat.

Hukum Memakai Inai Bagi Lelaki Dan Wanita

Hukum Memakai Inai Bagi Lelaki Dan Wanita Islam


Dr. Yusuf al-Qardhawi berkata, Imam as-Syafi'e rahimahullah melarang perbuatan lelaki berinai kecuali bagi tujuan perubatan sahaja. Contohnya seperti berinai untuk merawat penyakit kuku buruk dan uban. Hal ini demikian kerana, perbuatan berinai ini merupakan amalan dan perhiasan yang sinonim bagi kaum wanita sahaja. Islam turut melarang seseorang lelaki menyerupai wanita sama ada melalui pakaian mahupun perhiasan. Antara dalilnya:


أن أبي هريرة رضي الله عته قال: لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ
وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ

Maksudnya: Ibnu Abbas r.anhuma dia berkata: "Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang meyerupai lelaki." (HR Abu Daud)

Selain itu juga, Imam an-Nawawi rahimahullah di dalam kitabnya al-Majmu’ berkata lelaki diharamkan memakai inai ditangan dan kaki kecuali pada rambut mereka. Namun begitu, lelaki diizinkan bahkan dianjurkan untuk mewarnakan rambut atau janggutnya yang beruban dengan inai berdasarkan kepada hadis-hadis sahih. Antaranya ialah:


عَنْ عُثْمَانَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَوْهَبٍ قَالَ دَخَلْتُ عَلَى أُمِّ سَلَمَةَ فَأَخْرَجَتْ إِلَيْنَا شَعَرًا مِنْ شَعَرِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَخْضُوبًا

Maksudnya: Dari Uthman bin Abdullah bin Mauhab dia berkata; “Aku pernah menemui Ummu Salamah lalu dia mengeluarkan kepada kami beberapa helai rambut Rasulullah SAW yang telah diwarnai dengan inai." (HR al-Bukhari)


عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أَحْسَنَ مَا غَيَّرْتُمْ بِهِ الشَّيْبَ الْحِنَّاءُ وَالْكَتَمُ

Maksudnya: Dari Abu Dzar, dia berkata; "Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya sesuatu yang paling baik yang kalian gunakan untuk mengubah uban adalah inai dan katam." (HR Nasai’e)

Hadis di atas jelas menerangkan bahawa haram bagi kaum lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki. Oleh yang demikian, pemakaian inai ini adalah dilarang sama sekali bagi kaum lelaki kecuali bagi tujuan tertentu.

Seterusnya hukum memakai inai bagi wanita pula adalah diharuskan di dalam Islam.
Bagi para wanita pula, para ulama bersepakat tiada masalah baginya untuk mewarnakan jarinya dengan inai. Di antara dalilnya:


عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ امْرَأَةً مَدَّتْ يَدَهَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكِتَابٍ فَقَبَضَ يَدَهُ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَدَدْتُ يَدِي إِلَيْكَ بِكِتَابٍ فَلَمْ تَأْخُذْهُ فَقَالَ إِنِّي لَمْ أَدْرِ أَيَدُ امْرَأَةٍ هِيَ أَوْ رَجُلٍ قَالَتْ بَلْ يَدُ امْرَأَةٍ قَالَ لَوْ كُنْتِ امْرَأَةً لَغَيَّرْتِ أَظْفَارَكِ بِالْحِنَّاءِ

Maksudnya: Dari 'Aisyah berkata, "Seorang wanita menghulurkan tangannya kepada Nabi SAW dengan sebuah kitab, wanita itu memegang tangan beliau seraya berkata, "Wahai Rasulullah, aku hulurkan tanganku dengan sebuah kitab namun engkau tidak mengambilnya? Beliau bersabda: "Aku tidak tahu, apakah itu tangan seorang wanita atau tangan laki-laki." Wanita itu berkata, "Itu tangan seorang wanita." Beliau bersabda: "Sekiranya aku seorang wanita, sungguh kuku tanganku akan aku beri warna dengan pacar (inai)." (HR an-Nasa'ie).

Keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. 

Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.

2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja,manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. 

3. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula,corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.

4. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.

*Sumber

Read More ....


Post a Comment

0 Comments

close