Mukmin Seperi Lebah, setiap kebaikan pasti terserlah. Segerombolan lebah apabila menyengat, sakitnya boleh membawa maut. Begitulah seperti mukmin, apabila bersatu semua pihak terasa gerun, takut dan sekaligus hormat kepada kita. Orang mukmin kena bersatu, barulah kita dipandang tinggi oleh kaum yang lain.

Mukmin diibaratkan seperti lebah kerana sifatnya yang hanya memakan benda baik (rezeki halal), mengeluarkan sesuatu yang bermanfaat (madu/ilmu), tidak merosakkan tempat hinggap, serta rajin bekerja dan berdisiplin. Ini bermakna seorang mukmin seharusnya memberi kebaikan kepada persekitaran, produktif, dan menjaga kebersihan diri serta perbuatan.

Mukmin Itu Umpama Lebah
Daripada Abdullah bin Amru bin al-As RA,
عَن عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ مَثَلَ الْمُؤْمِنِ لَكَمَثَلِ النَّحْلَةِ أَكَلَتْ طَيِّبًا وَوَضَعَتْ طَيِّبًا وَوَقَعَتْ فَلَمْ تُكْسَرْ وَلَمْ تَفْسُدْ
"Sesungguhnya beliau mendengar Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya perumpamaan seorang mukmin adalah seperti lebah, ia makan yang baik-baik, mengeluarkan yang baik-baik, dan apabila ia hinggap, ia tidak membuat dahan patah dan rosak."*_ (HR Ahmad No: 6577) Status: Hadis Hasan
Hikmah Dan Pengajaran
1. Hadis ini menggunakan perumpamaan lebah untuk menggambarkan keindahan akhlak dan sifat seorang mukmin.
2. Seorang Mukmin sepatutnya berperanan sebagai agen perubahan di mana sahaja dia berada.
3. Jadilah kita seperti lebah yang berperanan secara semulajadi membantu proses pendebungaan bunga-bunga dan dalam masa yang sama menghasilkan madu. (Kita sentiasa memberi manfaat kepada orang lain).
4. Jadilah seperti lebah yang hanya makan dari bunga-bungaan yang bersih dan tidak tercemar, seorang mukmin juga seharusnya memilih untuk memakan rezeki yang halal, baik dalam aspek makanan, minuman, pekerjaan, dan sumber pendapatan.
5. Jadilah kita seperti lebah, mendapat sesuatu dari sumber yang baik, menggunakan dan menyumbang kepada manusia lain juga yang baik dan bermanfaat. Dimana-mana kita berada, kita bukan beban tetapi asset kepada orang lain.
6. Lebah tidak merosakkan bunga yang dihinggapinya. Hal ini melambangkan bahawa seorang mukmin tidak menyakiti orang lain, bahkan kehadirannya membawa kebaikan. Mukmin sejati adalah orang yang memberi manfaat tanpa mendatangkan kerosakan.
7. Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut bahawa lebah itu produktif, bermanfaat dan tidak merosakkan, dan inilah ciri utama seorang mukmin yang sejati — tidak menyakiti orang lain, menghindari kerosakan dalam masyarakat dan persekitaran serta sentiasa memberi manfaat.
8. Berusahalah meninggalkan warisan yang unggul (legacy) di mana pun kita berada, berlumba untuk meninggalkan kebaikan seperti lebah yang meninggalkan legacy madu.
9. Perlu diingat, kualiti madu yang dihasilkan oleh lebah bergantung pada sumber yang menghasilkan madu. Kita haruslah memastikan ‘sumber-sumber'nya; guru yang mendidik, ilmu yang diperolehi, pentarbiahan yang membentuk diri kita, rakan-rakan seperjuangan yang bersama kita, kumpulan yang kita bergabung dengannya dan lain-lain.
Semoga bermanfaat.
Tags
Tazkirah

