Header Ads

Cara Menjernihkan Hubungan Dengan Ibu Kita


Advertisement
Cara menjernihkan hubungan dengan kita ibu - Ibu adalah wanita paling kuat dan tabah di dunia. Sebabnya mereka menyerahkan nyawa dan tenaga ketika melahirkan kita ke dunia. Kerana seorang ibu, kita pandai berkata-kata dan kerana ibu jugalah kita boleh menjadi manusia berguna.

Ibu syurga kita. Di bawah telapak kakinya syurga dijanjikan oleh Allah seandainya kita taat dan kasihkan ibu kita.





Tetapi, benar kata peribahasa melayu. Langit tidak selalu cerah, bumi mana yang tidak ditimpa hujan! Dalam kejernihan suasana, ada ketikanya kita terkasar bahasa, bermasam muka hingga menjarakkan hubungan yang bersemi berpuluh tahun lamanya.

Begitulah yang berlaku dengan seorang teman saya. Kasih yang disemai bersama ibu tercinta berderai dan retak seribu apabila adik perempuannya mengalami masalah rumahtangga. Mulai saat itu dia kerap bertegang urat dengan ibunya kerana mahukan adiknya mempertahankan rumahtangga bersama sang suami manakala ibunya mahukan adik teman saya tadi bercerai sahaja.

Campurtangan adik beradik lain menyebabkan teman saya disisihkan dan menerima hinaan yang bukan sedikit. Kelantangannya dalam memberikan pendapat telah disalah erti.

Akhirnya teman saya membawa diri bersama suami dan anak-anak dan tidak berjumpa ibunya selama 5 tahun. Tiada khabar berita yang diterima dan teman saya juga langsung tidak mahu menerima berita tentang ibunya. Hatinya telah tertutup!!

Ujian Tuhan menimpa rakan saya apabila suaminya di jemput Allah swt dan tinggallah dia 'sebatang kara' walau masih ada ahli keluarga.

Saya hanya mampu mengurangkan kesedihannya dan hari demi hari saya menasihatinya agar berbaik dengan ibunya. Walau kita tidak bersalah, tidak mengapa...memaafkan adalah lebih baik daripada hidup diburu resah sepanjang masa.

Cara cara menjernihkan hubungan dengan ibu kita


1. Memaafkan Secara Rahsia

Maafkan IBU kita dalam setiap solat dan doakan kesejahteraannya setiap masa. Walau kita tidak bersalah, redhakan segala perbuatan ibu kita dan mohon agar Allah bukakan pintu hati kita dan ibu kita untuk saling memaafkan. Sesungguhnya Allah Maha pemakbul DOA hambaNya yang ikhlas dan khusyuk.

“…Dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Ali Imran: 134)

2. Bertanyakan khabarnya dari adik beradik lain

Jangan pernah putus hubungan dengan adik beradik kita. Tanyakan khabar tentang ibu kita melalui mereka. Buang segala ego dan kesombongan demi menyatukan kembali silaturrahim dengan ibu sendiri. Walaupun kita bakal berdepan dengan seribu rintangan, bersabarlah. Setiap kesabaran akan membuahkan hasil. Allah tidak kejam terhadap hambaNya yang berusaha.

3. Meminta pertolongan orang tengah

Kita juga boleh mendapatkan nasihat daripada pak cik atau mak cik kita yang agak rapat dengan ibu kita. Ceritakan niat kita dan minta pandangan daripada mereka. Biasanya kaedah ini juga boleh berjaya tetapi pastikan orang tengah tersebut seorang yang adil dan tidak suka mengadu domba.

4. Bersemuka dan cium tangannya

Akhir sekali kita sendiri kena pergi mencari ibu kita dan memohon ampun dan maaf dengannya secara bersemuka. Buang segala ego, marah, dan dendam. Sebaliknya tebalkan muka cium tangannya. Seorang ibu yang baik akan menerima maaf daripada seorang anak tanpa syarat.

Seperti saya katakan tadi, walau rasa marah dalam hati boleh hilang, maaf boleh diminta dan hubungan kembali jernih, namun ada sesuatu yang tertinggal di dalam hati. Apa dia yek? Iya...sejarah dan memori kekal dalam ingatan. Yang ini masih tersimpan kukuh dalam hati teman saya tadi.

Maki hamun dan doa ibunya di tanah suci yang mengatakan tidak halalkan kasih sayangnya selama ini masih terpahat kukuh. Tetapi, semua itu dia serahkan kepada Allah untuk mengadilinya.

Yang penting kini hatinya lapang dan hidupnya bahagia selepas memohon maaf dan berbaik semula dengan ibunya.

Firman Allah yang bermaksud,

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” (QS Ali ‘Imran [3] ; 159) ”

"Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf, serta berpalinglah dari pada orang-orang yang bodoh. .” (QS. Al A’raaf [7] ; 199)

2 comments:

  1. assalamualaikum.

    kisah yg 2 x 5 pernah berlaku kpd jiran ayie cuma sbb yg berbeza.

    hidup ini kita kena bersederhana termasuklah tindakan emosi kita kpd keluarga. jgn terlalu ikut perasaan apatah lagi hingga putus saudara atau kekeluarga antara anak dgn ibubapa. Eloklah jadi spt air yg x kn putus walaupun dicincang.

    ReplyDelete
  2. Iya ke? Tapi kehidupan memang begitu. Banyak persamaan cuma sebab yg berbeza2, kan?

    ReplyDelete

Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.

Powered by Blogger.