Aynorablogs | Berkongsi Informasi

Top Ads

Bulan Rejab, Keistimewaan dan Apa Yang Boleh Dilakukan Dalam Bulan Rejab

Bulan Rejab, Keistimewaan dan Apa Yang Boleh Dilakukan Dalam Bulan Rejab. Alhamdulillah. Dah masuk bulan Rejab. Terima kasih pada kawan-kawan yang saling mengingatkan tentang bulan rejab ini iaitu bulan keagungan. Ingatan tersebut menjadikan kita lebih bersedia untuk menyambut kehadiran bulan Syaaban dan seterusnya bulan Ramadan. Insyaa Allah, semoga Allah sampaikan kita kepada bulan Ramadan.

اَللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبَ وَشَـعْبَانَ وَبَلِّـغْنَا رَمَضَانَ

Maksudnya,

“Ya Allah, berkatilah kami (limpahkanlah kasih sayang kepada kami) dalam bulan Rejab dan Syaaban, serta pertemukanlah kami dengan bulan Ramadhan.”

Doa Bulan Rejab

Bulan Rejab, Keistimewaan dan Apa Yang Boleh Dilakukan Dalam Bulan Rejab


#1 – Apa Maksud ‘Rejab’?

‘Rejab’ bererti keagungan, kerana bulan ini diagungkan oleh Allah s.w.t.


#2 – Mengapa Bulan Ini Diagungkan?


Ini kerana ia termasuk dalam 4 bulan suci dan mulia yang diharamkan berperang atau bersengketa dalam Islam. Bulan ini adalah bulan aman, damai dan selamat. Seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud;

“Sesungguhnya, bilangan bulan di sisi Allah adalah 12 bulan, (sepertimana) dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya ada empat bulan suci tidak boleh berperang di dalamnya (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, Rejab). Itulah ketetapan agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi dirimu dalam (bulan yang empat) itu…”  Surah at-Taubah:36

#3 – Adakah Terdapat Peristiwa Penting Dalam Bulan Rejab?


Ya. Antara peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Rejab ialah peristiwa Israk dan Mikraj pada 27 Rejab.

Juga berlakunya Perang Tabuk, peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah s.a.w.
Selain itu, pada bulan Rejab juga berlakunya hijrah pertama dalam Islam.

#4 – Apa Yang Boleh Dilakukan Dalam Bulan Rejab?


Digalakkan kepada kita umat Islam untuk memperbanyakkan berzikir, istighfar, berpuasa serta melakukan amal kebajikan dalam bulan Rejab.

Juga digalakkan untuk kita melazimkan doa berikut;

“Ya Allah, berkatilah kami (limpahkanlah kasih sayang kepada kami) dalam bulan Rejab dan Syaaban, serta pertemukanlah kami dengan bulan Ramadhan.”


#5 – Apa Keistimewaan Bulan Ini?


Di antara keistimewaan bulan ini, malam pertama bulan Rejab adalah malam dikabulkan doa sepertimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

_“Lima malam doa tidak ditolak, iaitu malam pertama bulan Rejab, malam Nisfu Sya’ban, malam Jumaat, malam Hari Raya Eidulfitri, malam hari raya Eiduladha.” ~ Hadis Riwayat Al-Baihaqi.

#6 – Adakah Terdapat Ayat Al-Quran Yang Menyebut Mengenai Bulan Rejab?


Al-Quran tidak menyebut secara terperinci mengenai bulan Rejab dan kelebihannya. Akan tetapi terdapat dua surah al-Quran yang menyebut mengenainya secara tidak langsung, iaitu surah al-Baqarah ayat 194 dan 217 dan surah at-Taubah ayat 2, 36 dan 37.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada pembaca untuk merebut keistimewaan bulan Rejab ini.

Bahkan, bulan Rejab ini juga menjadi penanda aras atau tanbih (ingatan) kepada umat Islam agar bersedia untuk menghadapi bulan Ramadan; bulan yang di dalamnya terkandung 1001 rahmat dan maghfirah (keampunan) daripada Allah s.w.t.

Wallahua'lam.

Bacaan lanjut untuk kefahaman tentang bulan rejab dan mengapa ia disebut sebagai bulan yang agung.  


Bulan Rejab merupakan satu daripada bulan-bulan Haram. Ianya dijelaskan dalam al-Quran yang bermaksud,

Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, diantaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya).
(al-Taubah 36)



Bulan-bulan Haram tersebut ialah Zul Qa’dah, Zul Hijjah, Muharram dan Rejab. Ini bersandarkan hadith Abi Bakrah, sesungguhnya Nabi SAW berkhutbah pada Haji al-Wada’,

إن الزمان قد استدار كهيئته يوم خلق الله السماوات والأرض، السنة اثنا عشر شهرا، منها أربعة حرم: ثلاثة متواليات: ذو القعدة، وذو الحجة، والمحرم، ورحب مضر الذى بين جمادى و شعبان.

Yang bermaksud, Sesungguhnya zaman berputar sebagaimana hari Allah mencipta langit dan bumi, setahun yang mengandungi 12 bulan, empat daripadanya adalah bulan haram iaitu bulan yang dihormati, tiga daripadanya serangkai iaitu Zul Qa’dah, Zul Hijjah dan Muharram manakala Rejab Mudhar antara Jumada dan Sya‘ban.

Dinamakan Rejab kerana bulan ini diagungkan ( ترجِّب أي تعظِّم ) dan dikatakan kerana para malaikat bertasbih dan tahmid pada bulan ini. Ulamak menyatakan Rejab mempunyai 14 nama lain iaitu:
  1. شهر الله (Bulan Allah) 
  2. رجب (Rejab) 
  3. رجب مُضَرَ (Rejab Mudhar (iaitu Kabilah Arab yang mengharamkan perang dalam bulan Rejab) ) 
  4. مُنْصِلُ الأَسِنَّة (Senjata-senjata disimpan) 
  5. الأصم (sunyi kerana tiada kedengaran bunyi pedang berlaga) 
  6. الأصب 
  7. مُنَفِّس 
  8. مُطَهِّر 
  9. مُعَلَّى 
  10. مقيم 
  11. هرم 
  12. مُقَشقِشُ 
  13. مُبرِّئ 
  14. فَرد 
Beberapa hukum yang berkaitan dengan bulan Rejab yang sebahagiannya dilakukan pada zaman jahiliyyah. Ulamak berikhtilaf pendapat berhubung perkara tersebut:


Melakukan sembelihan


Pada zaman jahiliyyah orang Arab melakukan sembelihan pada bulan Rejab yang dinamakan ‘Atirah ( عتيرة ). Ulamak berselisih pendapat mengenai hukum melakukannya selepas kedatangan Islam. Sebahagian besar ulamak membatalkan perkara tersebut. Hal ini berdasarkan hadith Sahihain daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW bersabda,


لاَ فَرَعَ وَلاَ عَتِيرَةَ


Yang bermaksud, Tiada Fara’ (iaitu unta atau kambing yang pertama dilahirkan dan ia disembelih untuk tuhan-tuhan orang jahiliyyah) dan tiada sembelihan untuk bulan Rejab.

Sebahagian ulamak mengatakan ia adalah sunat seperti Ibnu Sirin, sebagaimana diceritakan oleh Imam Ahmad daripada Ahli Basrah dan dijelaskan sebahagian Ahli Hadith yang terkemudian.

Disebut dalam sunan Abu Daud, al-Nasa’ie dan Ibnu Majah daripada Mukhtif bin Salim, Nabi bersabda di ‘Arafah:


إِنَّ عَلَى كُلِّ أهل البيت فِى كُلِّ عَامٍ أُضْحِية وَعَتِيرَة وَهِيَ الَّتِي يسمُّونهَا الرَّجَبِيَّةَ.


Yang bermaksud, Bagi setiap Ahli Bait pada setiap tahun ada korban dan ‘Atirah yang dinamakan ia al-Rejabiyyah.

Sementara hadith al-Nasa‘ie daripada kaum Nabisyah mereka berkata: Wahai Rasulullah sesungguhnya kami pada zaman jahiliyyah melakukan sembelihan pada bulan Rejab, lalu Baginda bersabda:


اذبَحُوا للهِ فِى أَيِّ شهْرًا كَانَ، وَبِرُّوا الله وأطعمُوا.


Yang bermaksud,Lakukanlah sembelihan kerana Allah pada mana-mana bulan pun, buatlah kebajikan dan memberi makan kerana Allah.

Bulan Rejab, Keistimewaan dan Apa Yang Boleh Dilakukan Dalam Bulan Rejab

Solat


Tiada solat khusus bulan Rejab. Walau bagaimana pun tiada tegahan untuk memperbanyakkan solat sunat, zikir atau doa dalam bulan Rejab kerana untuk bertaqarrub kepada Allah. Sabda Nabi SAW,


الصَّلاَة خَيْرُ مَوْضُوع فَمَنِ اسْتَطَاعَ أَنْ يَكْثِرَ فَلْيَسْتكْثِرْ

Yang bermaksud, Solat merupakan sebaik-baik perkara, sesiapa yang mampu melakukannya dengan banyak maka perbanyakkanlah.

Puasa


Tiada sandaran daripada Rasulullah SAW dan sahabatnya tentang puasa yang khusus untuk bulan Rejab.

Tetapi diriwayatkan daripada Abi Qilabah berkata: Dalam syurga terdapat istana bagi orang yang berpuasa dalam bulan Rejab. Puasa di sini bukanlah bermaksud puasa fardhu atau sunat tetapi ianya dilakukan untuk bertaqarrub kepada Allah. Sabda Rasulullah SAW,

مَنْ صَامَ يَوْمًا فِى سَبِيلِ الله بَعَّدهُ الله سَبْعِينَ خَرِيفًا.

Yang bermaksud, Sesiapa berpuasa sehari pada jalan Allah, Allah akan menjauhkan dia daripada api neraka selama 70 kali musim luruh.

Urwah bertanya kepada Abdullah bin Umar ra: Adakah Rasulullah berpuasa dalam bulan Rejab? Beliau menjawab dan mengulanginya 3 kali: Ya dan Baginda memuliakannya.

Sebahagian ulamak salaf berpuasa berpuasa penuh dalam bulan-bulan haram seperti Ibnu Umar, al-Hasan al-Basri dan Abu Ishaq al-Sabi‘ie.

Al-Thauri berkata: Aku lebih suka berpuasa dalam bulan-bulan haram.

Daripada Ibnu Abbas, beliau tidak suka berpuasa penuh sebulan dalam bulan Rejab. Begitu juga Anas, Said bin Jubair dan Yahya bin Said al-Ansari, Imam Ahmad berkata: berbuka sehari atau dua hari kemudian puasa semula.

Imam al-Syafie dalam pendapat lamanya, makruh seorang lelaki berpuasa penuh sebulan seperti puasa Ramadhan berdasarkan hadith Aishah r.ah:

مَا رَأَيْتُ رسول الله صلى الله عليه وسلم استكمل شهرًا قط إلاَّ رمضان

Yang bermaksud, Aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sempurna sebulan kecuali bulan Ramadhan.

Hukum makruh bersendirian berpuasa dalam bulan Rejab akan terhapus sekiranya diikuti berpuasa sunat pada bulan berikutnya. Berkata Imam Ahmad: Tidak boleh berpuasa penuh sebulan Rejab kecuali orang yang biasa berpuasa penuh setahun.

Doa


Apabila masuk bulan Rejab, Nabi SAW berdoa:


اَللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِى رَجَب وَشَعْبَان وَبَلِّغْنَا رَمَضَان


Yang bermaksud, Wahai Tuhan kami, berkatilah kami dalam bulanRejab dan bulan Sya‘ban serta kami memohon dapat sampai ke bulan Ramadhan

Kata-kata ulamak berhubung bulan Rejab:


Berkata Abu Bakar al-Waraq al-Balkhiy:

Bulan Rejab bulan menanam, Bulan Sya‘ban bulan menyiram tanaman dan Bulan Ramadhan bulan menuai tanaman.

Beliau juga mengatakan, perumpamaan Bulan Rejab seperti angin, Bulan Sya‘ban seperti awan dan Bulan Ramadhan hujannya.

Satu peristiwa agung berlaku dalam bulan Rejab iaitu peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj adalah satu daripada mukjizat Nabi Muhammad saw yang berlaku sebelum hijrah baginda saw ke Madinah, pada malam Isnin, 27 Rejab. Dua peristiwa yang berlaku di dalam satu malam ini adalah bukti kekuasaan Rabbul Jalil.

Walaupun peristiwa ini telah berlaku seribu tahun yang lalu, nisbah pada diri kita, tetapi ianya adalah kekal dalam al-Quran dan al-Quran bersifat qadim. Sehubungan dengan itu, peristiwa ini dan pengajaran daripadanya sesuai untuk setiap zaman dan wajib kekal pada keimanan kita umat Islam sehingga hari Akhirat.

Wallahu a’lam.

Bacaan sepenuhnya: www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/tarekat-tassawuf/725-bulan-rejab

Rujukan
  1. al-Quran 
  2. Pimpinan al-Rahman 
  3. al-Nafahat al-Nuraniyyah, al-Syiekh Yusof Khattar 
  4. Latai’if al-Ma’arif, Ibnu Rejab al-Hambali.

Read More ....


Post a Comment

0 Comments

close