Salam Maal Hijrah 1 Muharam 1441H Negara Rahmah Ummah Sejahtera

Advertisement

Salam Maal Hijrah 1 Muharam 1441H Negara Rahmah Ummah Sejahtera. Negara terus sejahtera, makmur dan di bawah rahmat lindungan Illahi hendaknya menjelang tahun baru hijrah 1441. Semoga kita semua beroleh kejayaan, makin cemerlang dalam kehidupan dan semakin tinggi akhlak seiringan dengan ilmu dunia dan akhirat. Insyaa Allah..

1 Muharam 1441 Hijrah jatuh pada 1 September 2019. Manfaatkan hari cuti satu malaysia untuk kembali merenung diri. Muhasabah mana yang patut kena tinggal benda-benda yang tak berfaedah. Tinggalkan di belakang sebagai pengajaran dan sempadan. Pandang dan melangkahlah ke depan dengan iltizam yang jelas dan lebih baik dari sebelumnya.


Tema Maal Hijrah 1 Muharam 1441H - Negara Rahmah Ummah Sejahtera


Salam Maal Hijrah 1 Muharam 1441H Negara Rahmah Ummah Sejahtera

Bila sebut hijrah, tentu kita faham secara asasnya kita kena berpindah. Pindah ke mana? Dari mana? Dalam konteks fahaman seorang mukmin, kita tanamkan azam pindah dari perkara tak baik kepada baik dan lebih baik. Menjadi seorang muslim yang baik kepada terbaik dan cemerlang. Kalau boleh dalam segenap segi fizikal dan mental. 

Merenung tema Maal Hijrah tahun ini, "Negara Rahmah Ummah Sejahtera", ia membawa pengertian dan harapan yang luas kepada kita semua. Rahmah maksudnya kasih sayang.  Rahmah dengan kasih sayang Allah, makmur diberkati dengan keadaan ekonomi yang gemilang, keadaan cuaca dan udara bersih, boleh hidup sesama makhluk dengan akhlak yang baik menghasilkan kesejahteraan kepada seluruh ummah.

Secara jelasnya, saya kongsikan takrifan rahmah yang lebih luas dari Website masjid kg siglap untuk pemahaman lebih jelas. 

Sifat rahmah atau kasih sayang adalah merupakan salah satu anugerah Allah SWT yang terindah dan sangat tinggi nilainya. Lihatlah di dalam Al-Quran, perkataan rahmah ini diulang-ulang di dalamnya lebih daripada 300 kali dengan pelbagai bentuk sama ada dalam bentuk feil (perbuatan) ataupun dalam bentuk isim (kata nama).

Bagi memahami sifat rahmah ini dengan lebih jelas, para ulama telah membahagikan rahmah ini kepada dua maksud iaitu ”rahmah umum” dan ”rahmah khusus”.

RAHMAH UMUM adalah rahmat yang diberikan oleh Allah SWT kepada seluruh makhlukNya di atas muka bumi ini tanpa terkecuali sedikitpun. Baik orang-orang yang beriman ataupun kafir, taat ataupun ingkar kepadaNya, mereka tetap akan memperoleh dan mendapat rahmat daripadaNya.

Rahmat yang dimaksudkan di sini adalah rahmat yang diperolehi oleh manusia di dunia seperti air, udara, cahaya matahari, makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan banyak lagi nikmat Allah yang lain yang tidak terhitung nilainya.

Allah SWT berfirman:

رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَحْمَةً وَعِلْمًا

Maksudnya:

“Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmuMu meliputi segala sesuatu.”

(Surah Ghafir ayat 7)

Manakala RAHMAH KHUSUS pula bermaksud rahmat yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang beriman dan bertakwa. Rahmat Allah yang bersifat khusus ini adalah berbentuk hidayah atau petunjuk. Ia diberikan kepada hamba-hambaNya yang beriman kepada Allah dan Rasul, meyakini dan mempercayai kebenaran Al-Quran dan begitu juga beriman kitab-kitab samawi yang lain yang diutuskan oleh Allah SWT kepada para-para Nabi terdahulu. Yang hebatnya, rahmat ini tidak hanya diperoleh di dunia sahaja, bahkan turut diberikan di Hari Akhirat kelak berbeza dengan rahmat umum yang hanya diberikan Allah SWT di dunia sahaja.

Allah SWT berfirman:

وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ فَسَأَكْتُبُهَا لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَالَّذِينَ هُمْ بِآَيَاتِنَا يُؤْمِنُونَ

Yang bermaksud:

“Dan rahmatku meliputi segala sesuatu. Maka akan aku tetapkan rahmatKu untuk orang-orang yang bertakwa, yang menunaikan zakat dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat kami.”

(Surah Al-A’raf ayat 156)

Justeru, Negara Rahmah Ummah Sejahtera mengharapkan agar semua pihak mengembleng tenaga bersama, mencapai wawasan ini demi kehidupan yang lebih aman, bahagia dan kaya samada di dunia dan akhirat.

Kepada umat islam semua di seluruh dunia, saya ucapkan selamat menyambut Awal Muharam 1441H bersamaan 1 September 2019. Ambil yang baik dan tinggalkan yang buruk, tekad berubah menjadi lebih bermanfaat kepada orang lain.

No comments

Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.

Powered by Blogger.