Info Tepat Dengan Lifestyle Terkini

Salam Maulidur Rasul 1448H - Untuk Rasulullah

Salam Maulidur Rasul 1448H - Untuk Rasulullah

Salam Maulidur Rasul 1448H | Maulidur Rasul - Rasulullah Yang Kita Kasihi. Selamat menyambut maulidur rasul kepada seluruh pembaca blog tersayang. Jom renungi sejarah kelahiran dan biodata Rasulullah S.A.W yang kita rindui. Saban tahun, setiap tahun kita menyambutnya dengan rasa rindu di hati. Rabiulawal adalah bulan Hijriah dimana Rasulullah dilahirkan dan jatuhnya pada setiap 12 Rabiulawal. Di negara kita ia lebih mudah dipanggil Maulidur Rasul (kelahiran Rasulullah). Jadi, apakah persediaan dan persiapan mental & fizikal kita untuk menyambutnya. Kenapa sambutan kelahiran Nabi Muhammad SAW begitu istimewa bagi kita?

Maulidur Rasul tu apa? Ada yang tak tahu ke? Atau ada yang tak berapa pasti? Maulidur Rasul maksudnya hari kelahiran rasulullah. Hari lahir rasulullah, nabi terakhir untuk umat manusia di muka bumi ini.

Salam Maulidur Rasul 1448H - Untuk Rasulullah

Salam Maulidur Rasul 1448H - Untuk Rasulullah 

Apa yang boleh kita buat untuk mengingati rasulullah terutama pada hari kelahirannya yang jatuh pada 12 Rabiul Awwal setiap tahun? Nak meraikan secara realiti, baginda telahpun wafat. Maka, marilah kita berdoa untuk rasulullah, mendoakan yang terbaik untuknya walau kita tahu jaminan syurga untuk baginda. Sepertimana kita sayangkan orang yang telah pergi, sepatutnya begitulah juga kita mendoakan baginda setiap hari.

1. Biodata Nabi Muhammad s.a.w

Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luway bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrakah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma’add bin Adnan. (Bani Hashim)
Nama bapa : Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luway bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrakah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma’add bin Adnan.
Nama ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf bin Abdul Manaf bin Zahrah bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luway bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrakah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma’add bin Adnan.
Tempat lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.
Tarikh lahir : Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masehi (dikenali sebagai Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Kaabah).
Tarikh wafat : Hari Isnin, 12 Rabiulawal, tahun 11 Hijrah bersamaan 8 Jun, tahun 632 Masihi.
Tempat wafat : Madinah Al-Munawwarah.
Usia ketika wafat : 63 tahun.

2. Sejarah kelahiran Rasullullah Yang Ditunggu


1. Baginda dilahirkan pada pada subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masihi. Baginda Rasulullah SAW merupakan insan sempurna yang diiktiraf oleh para sarjana dunia sebagai pemimpin paling berpengaruh dan tiada tolok bandingnya sehingga kini.

2. Ketika berusia lima tahun, dada Muhammad SAW telah ‘dibedah’ oleh dua malaikat suruhan Allah SWT untuk membersihkan baginda dari sifat-sifat mazmumah atau pengaruh-pengaruh negatif yang ada pada dirinya.

3. Bapa baginda, Abdullah bin Abdul Muttalib telah meninggal dunia sebelum baginda dilahirkan dan ibunya Aminah binti Wahab pula wafat ketika baginda berumur 6 tahun yang kemudiannya meletakkannya dibawah jagaan datuknya, Abdul Muttalib bin Hashim.

4. Setelah datuknya meninggal dunia dua tahun kemudian, Muhammad SAW dipelihara oleh bapa saudaranya, Abu Talib bin Abdul Muttalib, sehingga dewasa.

5. Muhammad SAW digelar sebagai Al-Amin yang mencerminkan ketinggian intergiti dan akauntabilitinya sebagai individu yang paling dipercayai di kalangan masyarakat Makkah Al-Mukarramah.

Disyorkan Untuk Anda:

Get this widget

3. Nama isteri-isteri Nabi Muhammad SAW:


1. Khadijah Binti Khuwailid.
2. Saudah Binti Zam’ah.
3. Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar).
4. Hafsah binti ‘ Umar (anak Saidina ‘ Umar bin Al-Khattab).
5. Ummi Habibah Binti Abu Sufyan.
6. Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah).
7. Zainab Binti Jahsy.
8. Maimunah Binti Harith.
9. Safiyah Binti Huyai bin Akhtab.
10. Zainab Binti Khuzaimah (digelar ‘ Ummu Al-Masakin ‘ ; Ibu Orang Miskin)

*semua ummul mukminin adalah janda melainkan Sayyidatina Aisyah Binti Abu Bakar

4. Nama anak-anak Nabi Muhammad SAW:


1. Qasim (meninggal semasa kecil)
2. Abdullah (meninggal dunia semasa kecil)
3. Zainab (berkahwin dengan Abu Al-’As
4. Ruqaiyah (berkahwin dengan Uthman bin ‘Affan)
5. Ummi Kalthum (berkahwin dengan Uthman bin ‘Affan)
6. Fatimah Al-Zahra (berkahwin dengan ‘Ali bin Abi Talib)
7. Ibrahim (meniggal dunia semasa kecil)

5. Bentuk fizikal Rasulullah :


1. Baginda Rasulullah SAW digambarkan sebagai seorang yang bertubuh tegap dengan ketinggian sederhana dan berkulit kemerah-merahan. Wajahnya tampan dan berambut tidak begitu kerinting serta tidak begitu lurus, namun ikal mencecah ke bahu.

2. Selain itu, Muhammad SAW juga dikatakan memiliki janggut yang bersih dan terjaga rapi, berhidung mancung, gigi yang tersusun rapi bercahaya tapi renggang sedikit di bahagian hadapan dan rambutnya dibelah tengah.

3. Muhammad SAW juga dikatakan memiliki sepasang mata berwarna hitam pekat, bulu mata yang lentik, bahu yang lebar dan tidak berbulu. Namun diriwayatkan bahawa bahagian dadanya berbulu dan baginda memiliki telapak tangan dan kaki yang tebal.

4. Riwayat juga menyatakan bahawa ketika berjalan, Rasulullah SAW seolah-olah berjalan menuruni tanah yang lanai dan ketika menoleh, baginda menoleh dengan seluruh badan. Di antara kedua-dua bahu baginda terdapat tanda kenabian.

Warna kegemaran : Merah, Putih dan Hijau.

Makanan kegemaran : Kurma, Bali, Buah Tin dan Anggur.

Sukan kegemaran : Menunggang kuda, memanah dan berenang.

6. Peperangan yang disertai oleh Rasulullah semasa hayatnya :


1. Perang Badar
2. Perang Uhud
3. Perang Bani Nadhir
4. Perang Khandak
5. Perang Bani Qurazhah
6. Perang Khaibar
7. Perang Fathu Makkah
8. Perang Hudaibiyyah
9. Perang Tabuk

Inilah serba sedikit daripada banyak kisah Rasulullah yang sering disebut-sebut manusia di seluruh dunia, manusia terulung dan kekasih Allah SAW yang bakal memberikan syafa’at kepada umatnya pada hari kiamat kelak.

7. Kelebihan Berselawat Ke Atas Rasulullah


Syeikh Abdul Qadir al-Jailani al-Hasani menyatakan tentang kelebihan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW di dalam kitabnya, al-Safinah al-Qadiriyyah.

Beliau meriwayatkan daripada Ibn Farhun yang berkata: “Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW mempunyai empat puluh dua kelebihan.” Hal ini tertulis di dalam kitabnya Hadaiq al-Anwar.

Kami nukilkan sebahagiannya seperti berikut:

● Tanda melaksanakan perintah Allah SWT.
● Bersama dengan selawat Allah SWT kepada Rasulullah SAW.
● Bersama dengan selawat para malaikat.
● Mendapat ganjaran sepuluh kali selawat daripada Allah atas setiap kali selawat yang diucapkan (selawat daripada Allah bererti rahmat).
● Dikurniakan oleh Allah SWT sepuluh darjat atas tiap-tiap satu selawat.
● Ditulis oleh malaikat sepuluh kebaikan atas setiap selawat.
● Dihapuskan oleh Allah SWT sepuluh kejahatan atas setiap selawat.
● Segala doa akan diperkenankan oleh Allah SWT.
● Mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW.
● Mendapat keampunan daripada Allah serta akan ditutup segala keaiban.
● Allah SWT akan menutupi segala dukacita.
● Dikurniakan maqam yang berhampiran dengan Rasulullah SAW.
● Mendapat darjat al-Sidq.

Semoga kita ummat Muhammad SAW akan terus kekal meneruskan sunnah baginda selagi hayat dikandung badan dan menjadikannya sebagai idola yang terunggul di dalam hidup kita selamanya, JANGAN LUPA untuk selalu berselawat ke atas baginda rasulullah yang amat kita rindui!

Wallahu’alam.
Aynorablogs - Info & Lifestyle - Segala sesuatu dalam hidup ini akan pergi dan tidak pernah lagi kembali kecuali DOA. Ia pergi dengan HARAPAN dan Ia kembali dengan REDHA dan KURNIA.
Semoga bermanfaat - share kepada ramai orang agar manfaatnya lebih luas. Thank you - aynorablogs.com🥰

1 Comments

Boleh komen jika mahu, boleh LIKE jika suka. TERIMAKASIH.

  1. Perkongsian yang sangat bermanfaat! Ilmu sirah peperangan Rasulullah dan fadhilat selawat ni betul-betul menenangkan jiwa.

    ReplyDelete
Previous Post Next Post OLDER «

Main Menu Bar

Advertisement